fbpx

Ramai datang merayu, saya tak layan – Asyraf Wajdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf Wajdi

PETALING JAYA – “Ramai datang merayu kepada saya selepas tindakan undang-undang mula diambil. Saya tegaskan saya tidak akan melayani dan tiada lagi kompromi.”

Itu pendirian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki membabitkan penyewa premis Mara yang didapati menyalahgunakan premis sebagai stor.

Menurut Asyraf Wajdi, beliau perlu bertindak tegas kerana ia merupakan amanah rakyat dan premis tersebut dibangunkan menggunakan duit orang ramai.

Katanya, adalah zalim sekiranya premis yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan yang ‘genuine’ untuk berniaga akhirnya ‘dieksploitasi’ oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Tiada lagi kompromi bagi mereka yang tidak membuka premis Mara yang disewa atau dijadikan stor atau culas bayar sewa yang kadar amat rendah.

“Tindakan mahkamah sudah mula diambil. Mara mahu beri peluang pada usahawan sejati,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi memberitahu, tinjauannya ke atas premis Mara termasuk Arked Mara mengesan terdapat dua faktor yang menyebabkan kedai lesu, laih, tidak bermaya dan sering dikritik.

Jelasnya, premis yang disewa pada kadar amat rendah itu didapati tidak dibuka kerana dijadikan alamat oleh kontraktor yang ingin membida kontrak kerajaan di sesebuah daerah.

Faktor seterusnya adalah pemis tersebut digunakan sebagai stor, bukan disewa untuk perniagaan sebagaimana yang disyaratkan.

“Premis yang disewa tidak digunakan sebagaimana yang dipersetujui dalam kontrak penyewaan, malah ramai juga yang culas membayar sewa hakikatnya kadar ditetapkan amat rendah..

“Sebab itulah pada awal tahun ini saya mengarahkan Mara di seluruh Malaysia untuk ambil tindakan tegas ikut undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI