SEPANG – Perlis Inland Port (PIP) di Chuping, Perlis yang dibangunkan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dijangka beroperasi pada Julai tahun depan, sekali gus berupaya merangsang ekonomi negeri di utara tanah air.
Susulan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Kabinet bagi mendapatkan kerjasama semua agensi terlibat bagi memindahkan operasi kargo dari Stesen Padang Besar kepada PIP menjelang Julai depan.
Katanya, ketika ini kargo terlibat perlu melalui proses pelepasan di Padang Besar di mana kapasiti kawasan itu dilihat kecil serta tidak mampu menampung jumlah kargo yang tinggi.
“Oleh kerana Padang Besar dari segi keluasan tapak kecil dan tidak mampu mengendalikan banyak kargo, maka ada usaha dijalankan sejak beberapa tahun oleh NCIA untuk membangunkan PIP.
“Kargo itu (sebelum ini) merentasi sempadan di mana perlu melalui pelbagai proses di Padang Besar sebab kita mengendalikan banyak kargo dari selatan Thailand yang menggunakan pelabuhan sama ada di Pulau Pinang atau Klang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya juga akan mengangkat Kertas Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan Kabinet dalam tempoh dua bulan bagi proses pemindahan dari Padang Besar ke PIP.
“Sekiranya dimulakan, sudah tentu ia merupakan satu projek ekonomi yang dapat merangsang ekonomi di negeri utara yang mana Kementerian Pengangkutan secara prinsip bersetuju dan menyokong usaha ini,” katanya.
Sementara itu, Anthony berkata, beliau turut mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri Sembilan untuk mengenal pasti tapak bersesuaian berdekatan Nilai untuk dibangunkan sebagai Pusat Logistik Negara.
“Kerajaan Negeri Sembilan juga menyambut baik dan mereka sedang mengenal pasti kawasan itu yang mana insentif diberikan kerajaan dilihat boleh menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang itu.
“(Ini kerana) kawasan strategik seperti Nilai berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur dan lebuh raya utama, seterusnya menjadikan kawasan itu strategik sebaagi pusat logistik,” katanya. – KOSMO! ONLINE