JAKARTA – Satu klip video tular di media sosial di Indonesia memaparkan sejumlah motosikal yang sengaja diterbalikkan di sebatang jalan oleh pegawai-pegawai trafik, lapor portal berita Abatanews semalam.
Kejadian berlaku di bandar Ubud, Bali yang sering menjadi tumpuan pelancong.
Rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @infobandung menunjukkan beberapa motosikal ‘ditidurkan’ di tepi jalan.
Tindakan itu dibuat selepas penunggang nekad meletakkan motosikal mereka secara merata sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.
Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan kekecohan di ruangan komen.
“Tindakan yang tepat! Parkir merata-rata membuatkan jalan semakin sempit!” marah seorang netizen.
“Pihak berkuasa seharusnya menyediakan tempat letak kenderaan yang lebih luas. Jika parkir tidak disediakan, nak parkir di mana lagi!” marah netizen lain. – AGENSI