SHAH ALAM – Perbuatan seorang pengarah syarikat mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan kerja-kerja pembersihan dan landskap bangunan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat membawa padah apabila didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Afiq Mat Buang, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mohd. Afiq didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu penyata akaun bank milik syarikatnya bagi bulan Ogos 2019 yang dikemukakan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess)
Perbuatan itu bagi mendapatkan kerja perkhidmatan mencuci, membersih dan menyelenggara landskap di bangunan mahkamah tersebut selama dua tahun bernilai RM176,980. Kesalahan dilakukan di Jakess, Seksyen 5 pada Ogos 2019.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Muaz Ahmad Khairuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE