ALOR GAJAH – Seramai 604 dalang terdiri daripada warga asing dan tempatan yang menyebabkan bekalan barangan kawalan negara terjejas berjaya ditangkap penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Op Tiris, sejak Januari tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tangkapan itu merupakan hasil serbuan dilakukan di seluruh negara yang turut membabitkan pelbagai rampasan barangan bersubsidi termasuk minyak masak peket, gula, tepung dan diesel bernilai keseluruhan RM87,034,264.29.
“Dari segi Op Tiris, kita sedia maklum ia dilaksanakan untuk menangani isu ketirisan barang kawalan subsidi dengan menumpukan kepada bekalan diesel, namun kini pelaksanaan diperluaskan kepada barang-barang lain termasuk RON 95, minyak masak peket, gula dan sebagainya.
“Sehingga 22 November ini, kita berjaya menangkap 604 individu terlibat dalam penyeludupan barangan kawalan dan merampas bekalan melibatkan nilai seluruhan lebih RM87.03 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan KPDN 2024 di Kem Permata Resort, di sini, hari ini.
Tambahnya, sebanyak 39,069 pemeriksaan telah dilakukan dengan 2,521 kes direkodkan sepanjang operasi tersebut.
“Manakala untuk Op Kesan pula, bermula 1 Januari 2024 sehingga 23 November, KPDN telah melaksanakan 4,200 pemeriksaan premis dan telah menerima 166 aduan awam di seluruh negara,”ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai strategi penguatkuasaan beliau memberitahu, bermula Januari tahun hadapan, pihaknya akan meningkatkan keberadaan jentera penguat kuasa dengan pertambahan anggota di kesemua 75 pejabat negeri serta cawangan KPDN seluruh negara.
“Bilangan jentera penguat kuasa yang terhad ketika ini menyebabkan sebilangan pentadbiran cawangan terpaksa berdepan dengan cabaran liputan kawasan kawal selia yang terlalu luas dan isu logistik, manakala sebahagian jumlah kepadatan kependudukan dan jumlah premis perniagaan yang amat tinggi.
“Bermula Januari 2025, agenda ini akan diperkukuhkan melalui strategi meningkatkan keberadaan penguat kuasa di lapangan, pengisian perjawatan melalui kursus ini bertepatan dengan perancangan itu dengan pertambahan jumlah keseluruhan pegawai dan anggota penguat kuasa kini seramai 2,464 orang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE