BANGKOK – Seorang wanita mengalami detik cemas apabila motosikal yang ditunggangi terjatuh ke dalam parit gara-gara berpandukan aplikasi sistem pengesanan global (GPS) pada telefon bimbit, lapor laman berita Thaiger.
Kejadian berlaku sekitar pukul 7 malam (waktu tempatan) di Ban Choet, wilayah Chon Buri.
Parit berukuran 6 meter lebar dan 10 meter panjang itu terletak kira-kira 3 meter di bawah tanah, manakala paras airnya adalah sekitar 1.5 meter.
Mangsa yang dikenali sebagai Jariya, 25, berjaya keluar dari parit dan hanya mengalami calar kecil di badannya.
Menurutnya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke rumah rakannya dan menggunakan aplikasi GPS pada telefon bimbit untuk pemanduan arah.
GPS itu menunjukkan jalan pintas menuju ke rumah rakannya, mengakibatkan dia secara tidak sengaja terjatuh ke dalam parit simpanan air pertanian.
Wanita itu bagaimanapun bernasib baik kerana dia hanya mengalami kecederaan ringan, lapor akhbar KhaoSod.
Anggota penyelamat mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menaikkan motosikal Jariya yang tenggelam di dalam air. – AGENSI