HANOI – Malaysia berada di tangga ke-22 negara paling mesra dunia dalam ranking terkini majalah U.S. News & World Report, naik 16 anak tangga daripada 2023 untuk mengatasi Singapura, Indonesia dan Vietnam, lapor portal berita VNExpress semalam.
Di rantau Asia Tenggara, Malaysia berada di belakang hanya Thailand dan Filipina. Bangkok dan Manila masing-masing menduduki tangga ke-9 serta ke-19 dalam rangking dunia negara paling mesra.
Kedudukan tersebut adalah berdasarkan kaji selidik global melibatkan lebih 17,000 responden di seluruh dunia yang dilakukan pada 22 Mac hingga 23 Mei lalu.
Menerusi ranking berkenaan, Singapura menduduki tempat ke-24, Indonesia di tempat ke-33 manakala Vietnam di tempat ke-35 dengan Hanoi menokok sembilan kedudukan berbanding tahun lepas.
Kanada pula dinobatkan sebagai negara paling mesra dunia, diikuti oleh Sepanyol dan New Zealand.
Malaysia yang diraikan kerana kepelbagaian budaya yang meriah, menarik kunjungan hampir 29 juta pelancong antarabangsa tahun lepas sekali gus menjadikannya destinasi paling banyak dilawati di rantau Asia Tenggara.
Pada Februari lalu, Malaysia dinamakan sebagai negara kedua paling mesra di Asia selain menduduki tempat ke-15 di peringkat global dalam tinjauan yang dijalankan oleh laman web kewangan, Amerika Insider Monkey.
Selain itu, Malaysia juga dinamakan sebagai negara paling disayangi di Asia dalam tinjauan serupa pada Jun lalu. – AGENSI