PETALING JAYA – Malaysia dan Korea Selatan bersetuju untuk mempererat hubungan dalam empat lapangan hasil pertemuan bilateral antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Yoon Suk Yeol hari ini.
Perdana Menteri berkata, empat lapangan itu meliputi kerjasama politik dan keselamatan; ekonomi; budaya, pendidikan dan pelancongan; serta kerjasama serantau dan di peringkat global.
Ujar beliau, kerjasama ekonomi merangkumi aspek pelaburan dan perdagangan; menyemarak Dasar Pandang Ke Timur 2.0; kerjasama digital dan teknologi maklumat; kerjasama infrastruktur, kesihatan dan sains perubatan; alam sekitar dan tenaga serta pertanian.
“Kerjasama budaya, pendidikan dan pelancongan di mana kedua-dua negara bersetuju untuk mempertingkat kerjasama di sektor awam dan swasta serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)
“Kerjasama serantau dan di peringkat global di mana kedua-dua negara mengecam keras tindakan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) telah melancarkan peluru berpandu balistik pada 31 Oktober lalu selain mempertegas beberapa isu serantau dan global lain,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau memulakan acara pertama di Korea Selatan pagi ini dengan melakukan kunjungan rasmi ke Pejabat Presiden di Yongsan.
Jelas beliau, kunjungan itu menjadi terpenting tatkala Malaysia dan Korea Selatan akan bersama menyambut ‘sapphire jubilee’ pada tahun 2025,
“Selain terus mencari ruang dan lapangan bagi merapatkan kerjasama erat kedua-dua negara,” katanya.
Tambah beliau, Republik Korea juga bakal mempengerusikan rantau Asia Pasifik (APAC) dan Malaysia bakal mempengerusikan ASEAN tahun depan.
Justeru, katanya, Suk Yeol dan beliau berikrar untuk bekerja dengan lebih dekat dan sederap bagi melonjak kepentingan dan nilai yang dikongsi secara bersama.
“Malaysia dan Republik Korea akan terus bekerjasama di pelbagai lapangan yang berkepentingan selain mendepani tantangan yang mengesankan rantau dan dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE