PETALING JAYA – M K Land Holdings Berhad (M K Land) telah menerima dua anugerah berprestij iaitu Anugerah Best Residential Development (High Rise) dan Anugerah Excellence in Property Development Sector dalam dua majlis berasingan yang diadakan di sini baru-baru ini.
Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan pencapaian dan sumbangan Kumpulan itu dalam pembangunan hartanah serta komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.
M K Land menerima Anugerah Best Residential Development (High Rise) berasaskan kepada projek Kumpulan di Damansara Damai, Residensi Suasana @ Damai.
Projek ini diiktiraf atas integrasi bijak gaya hidup moden dengan prinsip reka bentuk yang mampan.
Dalam Malaysia Excellence Business Awards 2024 pula, M K Land turut diberi penghargaan dengan Anugerah Excellence in Property Development Sector, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa Kumpulan itu dalam membentuk komuniti menerusi projek pembangunan yang inovatif dan berkualiti tinggi di seluruh negara sepanjang 25 tahun yang lalu.
Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan M K Land, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi berkata, anugerah ini mencerminkan komitmen teguh pihaknya menyumbang kepada pembangunan yang mengimbangi keperluan kehidupan moden dan penjagaan alam sekitar.
Menurut beliau, Residensi Suasana @ Damai adalah contoh pendekatan Kumpulan dalam mengintegrasikan amalan-amalan mampan menerusi projek-projek Pembangunan sedia ada.
Pengiktirafan projek pembangunan di bawah Gold GreenRE for the Greener Building Provisional Certification adalah bukti dedikasi Kumpulan yang berterusan dalam menetapkan penanda aras kelestarian, khususnya dalam kecekapan tenaga dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan, tetapi juga menekankan kepentingan membangunkan kediaman yang mengutamakan kecekapan tenaga dan pemuliharaan sumber.
“Kami komited untuk membentuk komuniti yang bukan sahaja memenuhi keperluan pada hari ini tetapi juga melindungi sumber dan peluang untuk generasi akan datang.
“Pengiktirafan berganda ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus memacu inovasi dan kelangsungan, sambil memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan M K Land, Nazri Tumin menerangkan, penganugerahan ini mencerminkan pendekatan holistik M K Land dalam perniagaan, menggabungkan kecemerlangan dalam pembangunan hartanah dengan tumpuan yang utuh terhadap komitmen ESG.
“Kumpulan komited berinovasi, berkembang dan memberi kembali kepada komuniti, memastikan setiap projek meninggalkan legasi positif untuk generasi akan datang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE