KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki tempatan mengikat leher seekor kucing menggunakan tali lalu mengheretnya membawa padah apabila suspek ditahan polis semalam.
Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku di sebuah kediaman Jalan Klang Lama, di sini, dan berjaya dirakam individu lain.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 9 minit itu pada pukul 5.26 petang kelmarin.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, telah membuat tangkapan ke atas suspek berusia 43 tahun di kediamannya pukul 6.10 petang semalam.
“Satu kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah ke atas suspek akan dipohon untuk melengkapkan siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini
diminta untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999,” jelasnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan polis menyerahkan kepada Jabatan Veterinar membuat siasatan kes penganiayaan seekor kucing yang dipercayai berlaku di sebuah apartmen servis di ibu kota.
Rusdi berkata kes itu dirujuk kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan dan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015
Katanya, laporan polis oleh pengadu serta rakaman video kejadian juga diserahkan kepada pihak penguat kuasa Jabatan Veterinar Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE