VIGO – Jurulatih Barcelona, Hansi Flick berang apabila anak-anak buahnya gagal mempertahankan kelebihan dua gol ketika seri 2-2 menentang Celta Vigo pada aksi La Liga di Stadium Balaidos awal pagi semalam.
The Catalans yang turun sebagai pasukan pelawat mendahului perlawanan 2-0 hasil jaringan Raphinha dan Robert Lewandowski, namun kedudukan kembali terikat 2-2 menerusi jaringan Alfonso Gonzalez dan Hugo Alvarez ketika perlawanan berbaki enam minit.
Kad merah yang diterima Marc Casado pada minit ke-82 dianggap menjadi punca kepada keputusan seri itu apabila membuka ruang buat pasukan tuan rumah untuk melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol Barcelona.
“Bagi saya, ia bukan sahaja dalam tempoh 10 minit terakhir, tetapi kami bermain buruk untuk keseluruhan perlawanan. Jujur saya katakan ini bukanlah permainan terbaik kami dan saya tidak berpuas hati.
“Kami melakukan banyak kesilapan mudah dan langsung tidak menunjukkan keyakinan ketika memegang bola. Saya fikir kami juga memiliki nasib yang cukup baik dalam beberapa situasi sepanjang perlawanan hari ini (semalam),” katanya.
Justeru, pengendali dari Jerman itu berharap semua pemain mengambil tanggungjawab atas keputusan tersebut bagi memastikan mereka bangkit dan kembali ke landasan kemenangan menjelang perlawanan akan datang.
“Saya tahu perkara seperti ini akan berlaku tetapi kami perlu terus pandang ke hadapan dan cuba bangkit. Pemain-pemain juga tidak gembira dengan keputusan ini, jadi mereka tahu apa perlu dilakukan selepas ini,” ujar Flick. – AGENSI