PETALING JAYA – Hantaran iklan sebuah rumah sewa dua tingkat di Taman Melewar, Batu Caves, Kuala Lumpur mengejutkan orang ramai apabila dianggarkan kira-kira RM11,000 perlu disediakan penyewa baharu sebelum tinggal di kediaman tersebut.
Menerusi iklan yang dimuat naik di Facebook itu, dapat dilihat sewa bulanan rumah teres tersebut bernilai RM2,500 dan telah dicat untuk keselesaan penyewa.
Sementara itu, penyewa juga perlu menyediakan bayaran sewaan awal iaitu ‘2+1’ (dua bulan + sebulan sewa) sebagai ‘deposit’ (wang pendahuluan).
Dalam keterangan lokasi yang dikongsikan, rumah tersebut berada berdekatan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (Duke) dan hanya 13 kilometer (km) ke KLCC.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi diberikan orang ramai dan rata-ratanga terkejut melihat harga sewaan semahal itu yang dikatakan seperti bayaran bulanan sebuah rumah baharu.
“Itu baru harga sewa rumah, tambah deposit bil api dan air, RM10,000 hingga RM11,000 juga penyewa baharu kena sediakan. Baik bayar deposit rumah baharu, lagi berbaloi,” kata Shauki.
“Harga sewa kalau dah cecah RM1,200 sebulan ke atas, maka elok la beli rumah sendiri je sebab dengan harga bulanan begitu, dah boleh dapat rumah harga RM300,000. Tak berbaloi sewa rumah semahal itu,” kata Md Ann.
Sementara itu, iklan tersebut turut mendapat perhatian bekas guru, Mohd. Fadli Salleh dan katanya, harga rumah termasuk sewaan di sekitar Gombak dan Batu Caves sememangnya tinggi.
“Rumah tak ada la besar sangat. Tapi ‘rate’ kat Gombak atau Batu Caves ini memang seram.
“Tapi kan, dari bayar sewa RM2,500 sebulan, baik beli rumah terus. Rumah sekitar harga RM500,000 hingga RM600,000 boleh dapat dengan bayaran sewa RM2,500 itu.
“Tapi ada je orang lebih suka menyewa. Tak apalah, itu cara dia urus kewangan. Hormati saja cara orang walau berbeza dengan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE