SHAH ALAM – Kegiatan seorang mekanik bersama kekasih gelapnya meraih pendapatan sehingga RM140,000 bagi penyeludupan syabu ke Indonesia sejak tiga bulan lalu terbongkar apabila diberkas dalam sebuah rumah tumpangan di Sekinchan, Sabak Bernam dekat sini, baru-baru ini.
Penangkapan pasangan berusia 31 dan 28 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang pada 21 November lalu selain merampas 94.72 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, siasatan menunjukkan modus operandi mereka adalah mendapatkan bekalan dadah jenis syabu dari negara di utara Semenanjung dengan membawa masuk melalui jalan darat.
Menurut beliau, syabu tersebut kemudiannya diseludup keluar ke Indonesia menggunakan jalan laut.
“Suspek lelaki dipercayai bertindak sebagai penghantar dan menerima upah sehingga RM140,000 sekiranya berjaya membuat penghantaran ke Indonesia.
“Hasil semakan turut mendapati suspek lelaki ini telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak serta mempunyai tujuh rekod lampau dengan lima daripadanya berkaitan dadah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau menambah, suspek wanita yang merupakan warga Indonesia pula tidak bekerja dan masih bujang dengan saringan terhadap kedua-dua suspek positif methamphetamine. – KOSMO! ONLINE