PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghormati keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memulangkan 172 jam tangan Swatch, termasuk siri Pride Collection yang dirampas tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang tindakan lanjut termasuk mencabar keputusan mahkamah itu akan diteliti terlebih dahulu.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan laporan penuh keputusan itu.
“Biasanya saya akan diberikan taklimat lengkap asas penghakiman keputusan itu. Tapi reaksi awal saya adalah KDN seperti juga semua pihak apabila satu keputusan mahkamah dibuat, ia perlu dihormati.
“Sebab itu yang mewakili KDN ialah Jabatan Peguam Negara. Jadi, sebab itu kita kena tengok dulu dari sudut asas-asas penghakiman,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kerajaan supaya memulangkan 172 jam tangan Swatch dari siri Pride Collection yang dirampas pegawai KDN tahun lalu kepada syarikat The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd (Swatch Malaysia).
Ketika membacakan keputusannya, Hakim Amarjeet Singh berkata, KDN melanggar undang-undang ketika melakukan rampasan dan mengarahkan kerajaan memulangkan jam tangan itu dalam tempoh 14 hari bermula hari ini. – KOSMO! ONLINE