KOTA BHARU – Jenazah tiga beranak yang maut di Kilometer 53, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Sungai Lerek, Setiu di Terengganu hari ini selamat dikebumikan di dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maras, Langgar di sini, sebentar tadi.
Jenazah Kamarudin Ibrahim, 55, bersama isteri, Maimunah Mat Isa, 54 dan anak mereka, Nur Ardieana , 30, disemadikan kira-kira pukul 9 malam dengan hampir 200 ahli keluarga hadir ke tanah perkuburan itu.
Ketiga-tiga jenazah dibawa dengan tiga buah kenderaan ke tanah perkuburan selepas disembahyangkan di Masjid Sultan Muhammad II, Telipot di sini usai solat Isyak.
Ibu kepada arwah Maimunah, Siti Aminah Mat Jusoh, 72, berkata, arwah merupakan anak sulung daripada 11 beradik dan sebelum ini dua anaknya sudah meninggal dunia.
Menurutnya, dia mengetahui kejadian yang menimpa keluarga anaknya itu ketika sedang menunaikan solat Subuh di Masjid Jelor, Pasir Puteh kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.
“Saya ketika itu sedang membaca al-Quran sebelum salah seorang anak, Mohd. Fazli, Mat Isa, 38, memaklumkan bahawa arwah bersama suami dan anaknya meninggal dunia dalam nahas itu.
“Saya bergegas pulang ke rumah untuk bersiap-siap ke Hospital Setiu untuk melihat keadaan Maimunah,” katanya.
Siti Aminah memberitahu, dia reda dengan pemergian arwah meskipun sudah kehilangan tiga anak termasuk dua daripadanya yang menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) atau radang sendi.
Sementara itu, adik bongsu arwah Kamarudin, Muhamad Shahidin, 31, berkata, jenazah abang, kakak ipar dan anak saudara tiba di rumah di Telipot di sini kira-kira pukul 5.30 petang tadi.
“Kali terakhir saya bercakap dengan arwah abang saya pada Jumaat lalu sebaik sahaja mereka tiba di Negeri Sembilan sebelum bertolak ke Kuala Lumpur,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, tiga beranak yang perjalanan pulang dari majlis konvokesyen maut selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux di Kilometer 53, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Sungai Lerek di Setiu, hari ini.
Kemalangan pada pukul 4.50 pagi itu meragut nyawa Kamarudin, Maimunah dan anak kedua mereka, Nur Ardieana akibat kecederaan pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Anak bongsu pasangan itu, Nur Azwa Shamimi, 21, yang merupakan graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) pula cedera parah pada bahagian kaki dan tangan.
Difahamkan sebelum kejadian, mereka menghadiri majlis konvokesyen Nur Azwa Shamimi yang berlangsung di Putrajaya pada semalam. – KOSMO! ONLINE