Minggu lalu, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari mendedahkan masalah sosial dalam kalangan remaja bawah umur di negeri itu membimbangkan apabila terdapat kanak-kanak seawal usia 10 tahun hamil luar nikah.
Pada tahun ini, setakat September lalu, 555 kes hamil luar nikah direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.
Biarpun kategori umur paling tinggi merekodkan hamil luar nikah adalah pada usia 18 dan 19 tahun iaitu sebanyak 385 kes, namun mengandung pada usia 10 tahun masih bawah kategori kanak-kanak menyesakkan dada banyak pihak. Isu ini perlu dipandang serius oleh semua pihak bagi mengelakkan angka tersebut terus bertambah saban tahun.
Pada usia 10 tahun, sejauh mana kanak-kanak ini tahu mengenai seks dan pendedahan mereka terhadap pendidikan seksual. Tidak dinafikan ada dalam kalangan mereka masih tidak dapat membezakan yang mana satu sentuhan selamat dan sebaliknya.
Mereka mungkin ‘terjerat’ dengan individu dikenali di sekeliling mereka. Paling menyedihkan, pelakunya adalah darah daging atau ahli keluarga sendiri seperti bapa, bapa tiri dan abang.
Dalam dunia sekarang dengan kewujudan pelbagai aplikasi dating dan media sosial, individu-individu terdekat ini sepatutnya menjadi pelindung kepada kanak-kanak tersebut, namun mereka mengkhianati amanah dan ‘merosakkan’ masa depan anak kecil ini bagi memuaskan nafsu sendiri.
Bulan lalu, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan atas kesalahan merogol anak tirinya yang ketika kejadian baru berusia 13 tahun sampai mengandung.
Perbuatan lelaki itu bukan sahaja menyebabkan mangsa melahirkan bayi pada usia muda, malah remaja tersebut juga ketinggalan dalam pelajaran kerana tidak dapat ke sekolah disebabkan malu selain perlu melalui proses pemulihan yang lama selepas bersalin.
Paling menyedihkan remaja itu juga tidak tahu bahawa dia mengandung. Dia hanya mengetahui perkara tersebut selepas berkunjung ke klinik disebabkan haidnya yang tidak teratur sebelum disahkan hamil. Usia kandungannya ketika itu sudah 19 minggu.
Permohonan maaf yang dibuat si bapa tiri ini di hadapan Hakim Yang Arif tidak mampu memadamkan trauma dan mimpi ngeri yang dialami mangsa yang mungkin berlarutan sepanjang hayatnya.
Jika dahulu pada tahun 1980 dan 1990-an anak-anak berasa selamat di rumah kerana kebanyakan ibu mereka tidak bekerja.
Golongan ibu banyak menghabiskan masa di rumah memantau anak-anak masing-masing, namun hari ini keadaan sudah jauh berbeza. Ramai golongan wanita bekerja. Mereka mempunyai karier yang bagus. Ada juga wanita yang terpaksa bekerja bagi menampung pendapatan suami.
Kadang-kadang keadaan itu membuka ruang kepada berlakunya kejadian tidak diingini. Kalau dahulu kita takut penjenayah di luar rumah, sekarang perlu berjaga-jaga kerana di dalam rumah juga belum tentu selamat 100 peratus.