PETALING JAYA – KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) mencatat sejarah dengan merekodkan hasil suku tahunan tertinggi sebanyak RM1.03 bilion bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (S3 TK2024).
Buat julung kalinya, pertumbuhan Kumpulan melepasi paras RM1 bilion dalam hasil suku tahunan,
didorong oleh peningkatan bilangan pesakit dan kapasiti katil yang diperluaskan di seluruh
rangkaiannya.
Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) untuk suku ini direkodkan sebanyak RM139.6 juta, peningkatan dua peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) adalah sebanyak RM253.7 juta.
Tanpa mengambil kira keuntungan sekali sahaja sebanyak RM34.8 juta daripada hasil penutupan operasi di Indonesia pada S3 TK2023, EBITDA meningkat sebanyak 16 peratus, menandakan prestasi operasi yang kukuh.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2024, KPJ Healthcare melaporkan hasil
sebanyak RM2.87 bilion naik 15 peratus daripada RM2.50 bilion dalam tempoh sama bagi
tahun sebelumnya.
PBT bagi tempoh ini meningkat 19 peratus kepada RM349.7 juta, manakala
EBITDA meningkat tujuh peratus kepada RM687.3 juta, menunjukkan prestasi operasi yang stabil.
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, kejayaan meraih RM1 bilion untuk hasil suku tahunan buat kali pertama adalah bukti komitmen Kumpulan dalam
menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi yang mengutamakan pesakit, serta pada
masa yang sama meningkatkan prestasi operasi sedia ada.
“Pencapaian ini melambangkan kepercayaan pesakit dan pihak berkepentingan terhadap kami.
“Dengan penawaran perkhidmatan yang diperkukuh serta kapasiti katil yang ditambah, kami terus meningkatkan
kepuasan pesakit dan mencapai keputusan yang lebih teguh.
“Kami kekal fokus untuk memberikan nilai lebih besar selaras dengan usaha memenuhi keperluan penjagaan
kesihatan negara yang semakin bertambah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
KPJ Healthcare melaporkan kadar kemasukan pesakit meningkat sebanyak enam peratus kepada
103,228, manakala lawatan pesakit luar bertambah kepada 784,437, mengukuhkan komitmen
KPJ dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mudah diakses dan berkesan.
Pertumbuhan operasi hospital turut menjana aliran tunai operasi sebanyak RM554.3 juta
bagi tempoh berakhir 30 September 2024, kenaikan lima peratus (RM26.9 juta) daripada RM527.4 juta
pada TK2023. -KOSMO! ONLINE