NEVADA – Pelumba Mercedes, George Russell mengakui gembira apabila dapat menamatkan kemarau kejuaraan perlumbaan Formula Satu (F1) selepas mendominasi Grand Prix (GP) Las Vegas kelmarin.
Pada perlumbaan itu, Russell yang memulakan saingan di petak pertama tidak mempunyai masalah untuk mendominasi hingga ke garisan penamat dengan rakan sepasukan, Lewis Hamilton di kedudukan kedua dan Carlos Sainz melengkapkan podium.
Ini adalah kemenangan pertama buat Russell sejak GP British dan yang pertama buat Mercedes selepas mendominasi GP Belgium menerusi Hamilton pada Julai lepas.
Menurut Russell, keputusan yang diraih melengkapkan minggu yang sempurna dan tidak sangka jentera Mercedes boleh mencapai prestasi optimum pada saat yang tepat.
“Saya sangat puas apabila dapat menjuarai GP Las Vegas kali ini dan sudah tentu mahu meraikan kemenangan dengan pasukan. Apa yang kita lalui seperti dalam mimpi kerana jentera pasukan terlalu pantas.
“Bukan mudah untuk meraih kemenangan GP pada saingan F1 musim ini, tetapi kita berjaya melakukannya dengan mencatat kedudukan 1-2 bersama Hamilton,” katanya.
Perlumbaan F1 dijadualkan bersambung GP Qatar pada 1 Disember dan GP Abu Dhabi pada 8 Disember depan. – AGENSI