fbpx

EPL: Man. City hadapi situasi paling perit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERLING Haaland berdepan fasa sukar apabila hanya mampu meledak satu gol dalam lima perlawanan EPL terakhir termasuk gagal merobek gawang Spurs awal pagi semalam. - AFP

MANCHESTER – Malang terus menimpa Manchester City apabila dibelasah 0-4 oleh Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Stadium Etihad awal pagi semalam.

Keputusan itu menyaksikan City terus melakar rekod buruk apabila sudah tewas lima kali berturut-turut dalam semua pertandingan selain menyaksikan rekod kebal di laman sendiri lebur selepas 52 perlawanan.

Pengurus The Citizens, Pep Guardiola mengakui, skuad kendaliannya berada dalam keadaan paling lemah ketika ini selain tidak pernah berdepan situasi sedemikian sejak mengendalikan City lapan tahun lalu.

“Saya fikir benteng pertahanan kami sangat rapuh. Kami memulakan perlawanan dengan baik, tetapi gagal memanfaatkan setiap peluang terhidang dan kemudiannya kami bolos, dari situ semuanya menjadi sukar.

“Dalam tempoh lapan tahun, kami tidak pernah berdepan situasi seperti ini, tetapi sekarang kami sudah merasainya. Kami wajib menang perlawanan seterusnya untuk keluar daripada situasi sekarang,” katanya.

Pada perlawanan itu, pemain tengah Spurs, James Maddison beraksi cemerlang apabila menjaringkan dua gol, manakala Pedro Porro dan Brennan Johnson masing-masing menjaringkan satu gol.

Sementara itu, kapten City, Kyle Walker menjelaskan, kekalahan itu tidak sepatutnya diletakkan ke atas benteng pertahanan semata-mata memandangkan mereka beraksi sebagai satu pasukan.

“Jika kami bolos empat gol di laman sendiri, kami perlu membalas semula dengan lima gol tetapi ia tidak berlaku. Bagi saya, kekalahan ini tidak berpunca daripada beberapa pemain sahaja kerana adalah satu pasukan,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI