MANCHESTER – Tottenham Hotspur mempamerkan aksi cukup bertenaga ketika membelasah juara bertahan, Manchester City 4-0 pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi semalam.
Kemenangan itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada Spurs selepas mereka mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum ini ketika bertemu Ipswich Town dan Galatasaray dalam kempen Liga Europa.
Pengurus Spurs, Ange Postecoglou meluahkan rasa gembira dengan kemenangan tersebut, namun beliau memberi amaran supaya pemain-pemainnya tidak terlalu selesa selain mengharapkan mereka dapat mengekalkan rentak konsisten.
“Satu kemenangan yang sangat penting kerana mereka memiliki rekod yang cukup menakjubkan di laman sendiri. Saya tidak anggap ini kemenangan yang biasa kerana ia memberi keyakinan kepada semua pemain.
“Kami sudah mencapai standard sebenar menerusi kemenangan ini. Saya fikir semua orang tahu bagaimana situasi kami sebelum ini, jadi sekarang kami perlu kekalkan rentak sebegini untuk perlawanan akan datang,” katanya.
Pemain tengah Spurs, James Maddison tampil cemerlang pada perlawanan itu apabila berjaya menjaringkan dua gol manakala dua lagi gol hadir menerusi jaringan Pedro Porro dan Brennan Johnson.
“Saya dapat rasakan bahawa dia (Maddison) sudah bersedia untuk bermain dalam perlawanan besar seperti ini. Dia memiliki penanda rasa cukup tinggi, jadi saya berikan dia platform untuk membuktikan kemampuan,” ujar Postecoglou. – AGENSI