MUAR – Seorang doktor wanita berputih mata apabila mengalami kerugian RM134,323.83 apabila terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud atas talian tahun sejak tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman berkata, pihak polis menerima laporan daripada mangsa yang bertugas di sebuah hospital kerajaan berusia 30 tahun pada 14 November lalu.
“Mangsa menyatakan pada 24 Mei 2023 dia telah mengikuti seminar secara atas talian melalui ‘google meet’ dan ditawarkan dengan beberapa pakej pelaburan sebanyak RM138,000 dan dijanjikan keuntungan setiap bulan sebanyak RM 5,000 selama dua tahun.
“Oleh kerana berminat dengan keuntungan yang dijanjikan, pada 4 Julai 2023 sehingga 6 Julai 2023, mangsa telah membuat pembayaran keseluruhan sebanyak RM138,000 secara atas talian kepada satu akaun atas nama sebuah syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, sepanjang tempoh sehingga November tahun ini, mangsa hanya menerima dividen sebanyak RM3,676.13.
Tambahnya, mangsa berasa tertipu apabila individu yang tidak dikenali tersebut menyatakan syarikat mengalami kerugian dan tidak dapat membayar wang dividen yang telah dilaburkan.
Katanya, kerana tiada keuntungan diperoleh sepanjang penungguan selama tempoh itu, mangsa akhirnya membuat laporan polis di sini pada 14 November lalu. – KOSMO! ONLINE