GAZA – Hujan lebat membanjiri khemah-khemah pelarian Palestin di Semenanjung Gaza dengan membawa lebih banyak kesengsaraan kepada 2.3 juta penduduk yang berdepan pengeboman tanpa henti Israel sejak Oktober 2023.
“Kami berlari pada tengah malam, air hujan membanjiri khemah, makanan habis, kanak-kanak menjerit dan saya bimbang mereka akan jatuh sakit,” kata Rami, 37, yang merupakan pelarian di Bandar Gaza sebelum berpindah ke tapak stadium bola sepak.
Saluran berita Al-Jazeera melaporkan Agensi Pertahanan Awam Palestin sebagai berkata, beribu-ribu orang yang hilang tempat tinggal, terjejas akibat banjir bermusim itu.
Mereka meminta khemah dan karavan baharu daripada penderma untuk mengharungi musim sejuk tahun ini.
“Hujan menyebabkan kerosakan teruk pada khemah yang menempatkan beribu-ribu orang.
“Mereka tidur dengan air mengalir di dalam khemah, menyebabkan barangan dan tilam rosak,” kata jurucakap Pertahanan Awam, Mahmoud Basal dalam satu kenyataan semalam.
“Keadaan semasa menandakan malapetaka kemanusiaan sebenar jika campur tangan segera tidak berlaku,” katanya memberi amaran.
Jurucakap itu merayu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa supaya segera campur tangan untuk menyediakan khemah dan karavan kepada orang awam yang hilang tempat tinggal di Gaza semasa musim sejuk.
Pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas Gaza telah meragut lebih 44,000 nyawa setakat ini.
Pada Khamis lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant kerana jenayah perang dan jenayah kemanusiaan mereka di Gaza. – AGENSI