fbpx

DDNK dinobat Juara Trader Dunia 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nazri Khan (tengah) pada majlis penyerahan sijil MBOR di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan oleh Malaysia Book of Record (MBOR) kepada Pengurus Dana Bertauliah, Datuk Dr. Nazri Khan atau lebih dikenali sebagai DDNK sebagai Juara Trader Dunia 2024 pada Kejohanan Piala Dunia Perdagangan telah mengembalikan imej beliau dalam industri dagangan saham sekali gus mematikan tohmahan negatif ke atas dirinya selama ini.

Beliau adalah anak Malaysia pertama yang dinobatkan dalam pertandingan tersebut dan mencatat rekod pulangan sebanyak 302.5 peratus pada suku pertama, 179.6 peratus pada suku kedua dan 357.2 peratus pada suku ketiga.

Menurut beliau, pencapaian ini adalah bukti keberkesanan kerangka ekonomi digital yang selaras dengan ekonomi Malaysia yang menyokong pembangunan modal insan yang berintegriti, inovatif dan kompetitif di peringkat global.

“Kejayaan ini tidak akan datang tanpa cabaran besar. Untuk muncul sebagai juara dalam kejohanan perdagangan yang berprestij ini, saya terpaksa mengharungi persaingan sengit daripada ribuan para pedagang terbaik dunia,” katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Tahun lalu, Nazri mendedahkan terdapat sindiket penipuan menggunakan nama, gambar, poster, slogan, petikan suara di radio dan bual bicara serta kandungan di laman sosial yang telah dimanipulasi sehingga membolehkan kumpulan tidak bertanggungjawab itu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit.

Sebagai penyelesaian kepada isu tersebut, beliau dan kumpulannya telah membuat laporan sehingga 100 kali kepada pihak berkuasa.

“Saya jadi juara sebab saya geram dengan scammer, saya kecewa dengan keseluruhan sistem, banyak orang yang cuba curi identiti saya dengan mudah,” jelasnya.

Nazri menerangkan, kejayaan tersebut telah membuktikan bahawa anak Malaysia mampu membawa nama negara ke persada antarabangsa, mengangkat reputasi negara sebagai pelahir pedagang berkualiti tinggi dan mampu bersaing dalam pasaran global.

“Pengiktirafan ini juga merupakan inspirasi bagi golongan pedagang dan pelabur tempatan mengenai kepentingan tentang ilmu pelaburan dan kewangan menerusi kelas-kelas saham yang dianjurkan.

“Saya berharap agar kejayaan ini akan dapat menjadi pembakar semangat kepada semua pihak terutamanya golongan muda tempatan untuk menceburi bidang perdagangan saham khususnya dengan lebih serius dan melihatnya sebagai jalan untuk menuju kecemerlangan hidup,” ujarnya.

Selain itu, Nazri Khan me­nerangkan, pihaknya bakal me­lancarkan seminar terbaharunya yang dikenali sebagai Menang Saham 2.0 (MS 2.0) pada 21 Di­sember ini yang merupakan program yang direka khas untuk membantu pelabur, pedagang baharu dan berpengalaman untuk mengetahui ilmu pasaran seiring dengan cabaran masa hadapan.

Beliau juga akan melancarkan buku terbaharunya iaitu Autopilot Investor yang dikhaskan untuk para pelabur, pedagang dan juga peserta dalam program Menang Saham 2.0. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI