fbpx

Cacat pendengaran bukan kekangan untuk Asmak ‘genggam’ sarjana di UKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asmak Asaari menerima Ijazah Sarjana Pendidikan pada majlis Konvokesyen UKM di Bangi kelmarin.

BANGI – Cacat pendengaran bukan penghalang bagi seorang pendidik meneruskan kecintaannya terhadap ilmu sehingga berjaya bergelar graduan Ijazah Sarjana Pendidikan (Pendidikan Khas) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Asmak Asaari@Kamaluddin, 44, adalah antara 11,010 graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-52 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM.

Mengimbau penat lelah ibu kepada tiga orang anak ini menyambung pengajian ke peringkat tinggi, Asmak berkata, aspek komunikasi antara cabaran kepadanya, namun itu bukan menjadi satu kekangan buat dirinya untuk menimba ilmu.

“Apabila pensyarah mengajar, saya terpaksa banyak bertanya jika kurang faham sesuatu topik. Selain itu, saya juga terpaksa berdepan cabaran jaringan internet kerana kadangkala saya menggunakan te­lefon bimbit di dalam kelas.

Asmak

“Bagaimanapun, saya bersyukur dikurniakan pensyarah yang ba­nyak membantu, bahkan mereka serta rakan-rakan saya di dalam kelas berkemahiran menggunakan bahasa isyarat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini kelmarin.

Justeru, Asmak bersyukur apabila dapat menamatkan pengajian dalam tempoh setahun setengah di UKM serta menyempurnakan kajian berkait masalah pendengaran.

“Saya tidak menghadapi masalah seperti putus asa dan sebagainya kerana penyelia saya sangat bagus dan banyak membantu. Beliau boleh berkomunikasi dengan bahasa isyarat, senang untuk saya berdiskusi dan berbincang.

“Jika merancang untuk men­yambung pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD), saya akan memilih UKM memandangkan kemudahan dan fasiliti di sini juga lengkap,” katanya.

Asmak yang bergelar guru selama kira-kira 14 tahun berkata, ibu bapa merupakan dorongannya men­yambung pengajian ke pering­kat lebih tinggi, bahkan mereka sentiasa memberikan galakan dan sebagai penyuntik semangatnya.

Ditanya mengenai masalah pendengaran yang dihadapi, Asmak berkata, dia dilahirkan sebagai kanak-kanak normal, namun segalanya berubah ketika dia berusia dua tahun.

“Ayah beritahu pendengaran saya semakin berkurangan dan saya selalu jatuh disebabkan tubuh badan tidak seimbang. Saya jatuh sakit dan hilang pendengaran sepenuhnya pada usia tiga tahun.

“Ibu bapa saya normal dan saya anak kedua daripada tujuh beradik. Hanya saya seorang ada masalah pendengaran,” katanya yang kini bekerja sebagai guru di sebuah Sekolah Menengah Pendidikan Khas di Johor Bahru.

Ujar Asmak, tiga anaknya ber­usia 15, 12 dan 11 tahun juga dilahirkan normal, manakala suaminya yang be­ker­ja sebagai tukang masak memi­liki masalah pendengaran sepertinya.

Pensyarah Pendidikan Khas di Fakulti Pendidikan UKM, Dr. Syar Meeze Mohd. Rashid yang bertindak sebagai penyelia menyifatkan, Asmak seorang pelajar yang sangat rajin serta berdedikasi sepanjang pengajiannya di peringkat sarjana.

“Semasa proses pembelajaran, kadangkala pensyarah tidak menggunakan bahasa isyarat sepenuh­nya. Jadi Asmak menggunakan aplikasi di telefon bimbit yang mana apabila pensyarah bercakap, ia terus disalin sebagai teks,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI