JAKARTA – Satu klip video tular di media sosial memaparkan beratus-ratus burung pipit ditemui mati di Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai, Pulau Bali, lapor portal berita Social Expat semalam.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @antaranews pada Jumaat lalu, menunjukkan ratusan bangkai pipit yang bertaburan di atas jalan dengan beberapa pokok tumbang.
Ketua Pusat Pemuliharaan Sumber Asli Bali (BKSDA), Ratna Hendratmoko berkata, beberapa pokok di mana burung-burung itu bertelur telah tumbang akibat disambar petir.
“Ini sekali gus menyebabkan kawanan burung pipit yang bertenggek di atas pokok mati,” kata Ratna.
Jelas Ratna, kematian berpunca daripada faktor semula jadi dan tidak melibatkan sebarang wabak penyakit atau punca lain yang membimbangkan.
“Petugas pembersihan lapangan terbang segera memindahkan bangkai burung tersebut dari lokasi bagi menjaga keselesaan pengunjung lapangan terbang,” tambahnya. – AGENSI