Kuala Lumpur – Seorang remaja dinobatkan juara pada Cabaran Memancing Kuala Lumpur 2024 yang diadakan di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur Ahad lalu selepas berjaya menaikan seekor patin seberat 16.725 kilogram (kg) pada pukul 12.03 tengah hari.
Deimas Ardaan Shah, 13 tahun dari Kuala Lumpur membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, selepas dinobat sebagai juara Cabaran Memancing Kuala Lumpur.
Menurutnya, dia menggunakan roti berperisa pandan sebelum disambar patin yang memaksanya mengambil masa lebih lapan 8 minit bagi menaikkan ikan tersebut.
“Ini rezeki saya dan wang kemenangan ini akan digunakan untuk membeli peralatan kelengkapan sekolah dan berkongsi dengan bapa yang turut menyertai pertandingan ini,” ujarnya.
Tempat kedua disandang oleh Muhammad Imaduddih Izzul Islam yang membawa pulang RM2,000 dan Nor Akmal Hakim Mohd Tajuddin (RM1,000) selepas masing-masing menaikkan patin seberat 15.235 kg dan 14.960 kg.
Cabaran memancing anjuran sebuah syarikat swasta dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Tourism Malaysia itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM20,000 kepada pemancing yang berjaya mendaratkan ikan. – KOSMO! ONLINE