LONDON – Sepasang suami isteri di United Kingdom (UK) berdepan detik cemas apabila bayi mereka terperangkap di dalam kereta yang ditenggelami banjir akibat Ribut Bert, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kejadian itu berlaku di Todmorden, West Yorkshire ketika angin kencang dan banjir kilat berlaku.
Paige Newsome dan suaminya, Andre Randles menyifatkan situasi semasa kejadian sangat tegang kerana anak mereka baru berusia 11 bulan.
“Ia adalah pengalaman sangat mengerikan dan tidak mudah untuk dilupakan.
“Suami saya berenang merentasi air banjir dan bergegas mencari cara untuk menyelamatkan anak kami,” kata Newsome.
Gambar dimuat naik di laman Facebook menunjukkan paras air melebihi bumbung kereta jenama Volkswagen milik mereka.
“Anak kami berjaya ditarik keluar melalui tingkap kereta. Kami kemudian dibawa ke kawasan selamat oleh penduduk tempatan,” tambahnya. – AGENSI