BEBERAPA pasukan tempatan sudah menzahirkan hasrat untuk menghulurkan bantuan kepada pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente bagi mengumpulkan pemain terbaik harungi Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), bulan depan.
Walaupun dijangka tidak dapat membariskan skuad terkuat ekoran penganjuran Piala AFF di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Pau Marti diberi ‘lampu hijau’ bagi memilih senarai terbaik.
Pengendali Perak, Yusri Che Lah, berkata beliau sedia melepaskan pemainnya sekiranya ada diantara mereka dipanggil kerana menganggap kesempatan itu adalah bagus buat mereka yang terpilih.
“Saya pernah melakukannnya di Kelantan yang mana ketika itu skuad saya lagi teruk dari sekarang. Saya melepaskan pemain seperti Nik Akif (Syahiran Nik Mat) dan Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni.
“Pada saya, apabila melihat mereka ketika ini beraksi dengan lebih baik bersama pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M), ia satu kebanggaan. Melepaskan mereka ketika itu dan menyebabkan mereka ketika ini di tahap yang berlainan,” katanya.
Berdasarkan penjadualan saingan domestik, ia menyaksikan pertembungan perlawanan Piala AFF dan Liga Super khususnya membabitkan dua wakil negara yang bermain di pentas Asia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.
JDT yang memiliki ramai pemain kebangsaan akan menentang Kuala Lumpur City pada 8 Disember, tarikh sama aksi pertama Harimau Malaya bertemu Kemboja manakala Selangor akan buat perhitungan dengan Negeri Sembilan 9 Disember.
“Saya sudah bincang dengan pihak pengurusan dan pengurusan membenarkan untuk Fazrul (Amir Md Zaman) kalau dia dapat panggilan untuk mewakili skuad negara. Ia penting untuk perkembangan karier pemain,” kata penolong ketua jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN), Rezal Zambery Yahya.