GOMBAK – Di sebalik nama yang gah, siapa tahu rupa-rupanya tahun-tahun terakhir sebelum pemergian menyahut panggilan Ilahi, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab sebenarnya hidup dalam kesunyian.
Berkongsi kepiluan dari kaca mata sendiri, komposer veteran, Datuk Chuari Selamat berkata, legenda muzik itu menghabiskan tahun-tahun terakhir hidupnya jauh daripada perhatian orang, terutama individu yang selama ini dekat di hatinya.
Menurut Chuari, 70, rasa sepi itu semakin dirasakan sejak kematian isteri, Allahyarham, Siti Zainab Ibrahim, pada 2020, di samping kurangnya perhatian daripada individu yang pernah dibimbing beliau.
“Sedihnya bila sudah hujung usia, dia kesepian. Dia cakap dengan saya dia sunyi. Orang yang pernah dibimbing sudah tidak berapa ambil tahu hal dia. Ini memang sangat sedih.
“Beberapa kali jumpa dia, dia minta datang lagi seolah-olah arwah macam mahu cari kawan. Dalam lima tahun belakangan ini nampaklah kesunyian itu. Tambahan pula bila isteri sudah meninggal.
“Kalau saya datang rumah, dia banyak termenung dan cakap dalam keadaan sayu. Dahulu orang panggil dia main seksofon, tapi hujung hujung sudah macam senyap,” katanya ketika ditemui Surau Al-Tarbiyyah Al-Islamiah, semalam.
Sebagai rakan yang telah bekerjasama dengan Allahyarham sejak 1970-an, Chuari turut menyaksikan cabaran besar yang dihadapi oleh maestro muzik itu, termasuk menjadi mangsa individu yang penuh hasad dengki.
“Bila perkara tidak diingini berlaku, dia bersikap menjadi seorang yang tenang.
“Dalam menghadapi situasi ini, dia jujur dengan apa yang berlaku. Orang mahu buat apa dia tidak kisah. Dia hanya dengan perjuangannya. Jika dia di pihak yang betul dia akan pertahankan,” dedah Chuari yang mula bekerjasama dengan Allahyarham sekitar 1970-an.
Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab merupakan figura penting dalam landskap muzik Malaysia, dengan banyak lagu malar segar yang terus diingati sehingga kini.
Sebagai komposer, pemuzik, dan penerbit, beliau meninggalkan legasi luar biasa yang menjadi inspirasi kepada generasi seni tanah air.
Pemergian Ahmad Nawab pada usia 92 tahun meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakan dan peminat seni, yang mengenang arwah sebagai seorang maestro muzik yang komited serta seorang insan yang rendah hati. – KOSMO! ONLINE