JURULATIH Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain menyifatkan pasukan itu serta dirinya bernasib baik kerana masih memiliki 12 pemain untuk diturunkan dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Darul Aman semalam.
Menurut penerima anugerah jurulatih terbaik kebangsaan 2022 itu, dia juga dalam masa sama tidak langsung menyalahkan para pemain yang enggan beraksi dalam perlawanan tersebut berikutan pelbagai isu melanda mereka ketika ini.
“Pada sesi taklimat sebelah petang, semua pemain ada bersama, tetapi apabila tiba waktu sebelum sesi memanaskan badan di stadium, segelintir pemain memberitahu mereka tidak mahu beraksi untuk perlawanan ini.
“Saya terkejut, tidak menyangka ini akan terjadi kerana segalanya berlaku pada minit-minit akhir. Tetapi, kami kemudiannya berbincang dengan beberapa pemain setuju untuk diturunkan dan itulah yang kita ‘gunakan’ dalam perlawanan bertemu KL City.
“Selain 11 pemain di padang, kami cuma ada seorang pemain bawah 23 tahun diletakkan sebagai pemain simpanan. Saya hanya bertawakal tetapi perancangan Allah nyata lebih sempurna dengan kami akhirnya berjaya memenangi perlawanan ini,” katanya.
Dalam perlawanan itu, dua gol oleh Sony Norde dan satu jaringan tambahan oleh Sukhrob Nurulloev membantu Sang Kenari mencatat kemenangan 3-2 ke atas KL City meskipun skuad warga kota itu terlebih dulu membuka jaringan menerusi Ryan Lambert pada minit ke-12.
Dalam pada itu, Norde akhirnya menjawab segala persoalan apabila mengesahkan penghijrahannya ke sebuah kelab di Indonesia bermula Disember depan.
Katanya, kemenangan 3-2 dicatatkan dalam aksi sulung Piala Malaysia musim ini menentang Kuala Lumpur City (KL City) semalam merupakan aksi terakhir beliau di depan penyokong sendiri, di Stadium Darul Aman.