JAKARTA – Seorang jurusolek (MUA) di Indonesia mengundang kecaman pengguna media sosial apabila menyolek wajah bayi menggunakan mekap yang tebal, lapor portal berita Sindo News semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @tia_make.up menunjukkan wanita itu selamba menyolek wajah bayi perempuan tersebut yang sedang tidur dengan nyenyak.
Selain bedak, pipi bayi itu disapu pemerah pipi, manakala bibirnya dipakaikan gincu berwarna merah.
Lebih mengejutkan apabila kening bayi tersebut dilukis dengan pensel sebelum ditambahkan celak dan pembayang mata pada kedua matanya.
Rakaman itu mencatatkan lebih 125,200 tontonan dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan netizen.
“Kurang bulu mata palsu dan kanta lekap,” sindir seorang netizen.
“Dia (MUA) begitu berani! Pakaikan bedak sahaja tidak boleh apatah lagi ‘full makeup’,” marah netizen lain. – AGENSI