JOHOR BAHRU – Sindiket dadah yang beroperasi hanya kira-kira 300 meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berjaya ditumpaskan apabila seorang lelaki ditahan, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan dalam operasi khas bermula pukul 8 malam.
Menurutnya, turut dirampas dalam serbuan itu dadah serbuk ekstasi seberat 3.98 kilogram (kg) bernilai RM665,578.50.
“Modus operandi digunakan suspek adalah membeli dadah dalam jumlah pukal sebelum menggunakan dua unit kediaman teres di Taman Sentosa dan Taman Abad, di sini sebagai tempat simpanan dan pembungkusan semula.
“Serbuk dadah itu kemudian dibungkus dalam pelbagai bungkusan antaranya jenama minuman, gula kanak-kanak dan juga racun untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE