MANJUNG – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mahu memberi tumpuan kepada pasaran luar negara seperti Arab Saudi bagi memasarkan produk keluaran usahawannya.
Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pasaran di negara tersebut perlu diberikan fokus memandangkan umat Islam di negara ini saban tahun mengunjungi lokasi seperti Mekah dan Madinah.
“Saya berkali-kali sebut kepada menteri dan sebagainya, juga pihak pengurusan LPP bahawa sekarang masa untuk fokus kepada Arab Saudi iaitu (pasaran) Mekah serta Madinah.
“Setiap tahun orang pergi umrah dan menunaikan haji. Kalau tak dapat masuk (pasaran) sana pun, kita nak kempen mereka (warga Malaysia), bawa bekal (produk Peladang) seperti nasi, lauk dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Jelajah Promosi Produk Peladang di Lotus Seri Manjung di sini.
Pada masa sama, Mahfuz berkata, LPP berhasrat menempatkan produk keluaran usahawannya di pasar raya Lotus bagi memastikan capaian lebih luas bagi barangan berkenaan.
Beliau berkata, untuk itu, pihaknya kini sedang berunding dengan pasar raya tersebut dengan perincian mengenai perkara berkenaan sedang dibincangkan antara kedua-dua pihak.
“LPP tak nak sekadar mengadakan Program Jelajah Promosi Produk Peladang di Lotus tetapi mahu meletakkan produk-produk peladang di rak-rak pasar raya itu.
“Ini adalah usaha kita untuk membantu usahawan LPP,” katanya yang turut memberitahu, Program Jelajah Promosi Produk Peladang di Lotus Seri Manjung diadakan selama sembilan hari bermula pada semalam hingga 1 Disember ini.
Ia merupakan lokasi ketiga selepas Lotus Bandaraya Melaka dan Lotus Setia Alam, Selangor. Program Jelajah Promosi itu dilaksanakan di lima negeri di lima lokasi Lotus iaitu di Selangor, Melaka, Perak, Kedah dan Johor.
Mahfuz berkata, mereka mempromosikan produk-produk keluaran Pertubuhan Peladang yang membawa jenama Peladang seperti produk industri asas tani (IAT), produk segar dan sejuk beku seperti ayam, daging dan sayur-sayuran.
“Kita membawa sebanyak 149 Unit Simpanan Stok (SKU) dan semuanya dijual di dalam reruai Peladang Outlet. Sebanyak 49 SKU adalah produk keluaran daripada negeri Perak,” katanya. – KOSMO! ONLINE