fbpx

Lawatan rasmi Anwar ke Republik Korea perkukuh hubungan bilateral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Republik Korea bermula hari ini hingga 26 November, sekali gus mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Lawatan rasmi yang dibuat atas jemputan Presiden Republik Korea, Yoon Suk Yeol itu merupakan kunjungan rasmi pertama Anwar ke negara berkenaan selepas menjawat jawatan Perdana Menteri pada 2022.

Kementerian Luar berkata, menerusi lawatan itu, Anwar akan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Yoon di Pejabat Presiden Yongsan.

“Kedua-dua pemimpin akan menilai hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Korea yang telah berkembang maju daripada segi skop dan intipati sejak penubuhan hubungan diplomatik pada tahun 1960.

“Kedua-dua pemimpin juga dijangka berbincang isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama serta bertukar pandangan mengenai kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan kepengerusian APEC-Republik Korea 2025,” katanya hari ini.

Turut mengiringi Anwar pada lawatan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Li Kang; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang serta pegawai kanan kerajaan.

Pada masa sama, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Bidang Pendidikan Tinggi, Kerjasama dalam Bidang Pemerangkapan dan Penyimpanan Karbon serta Kerjasama dalam Pendekatan Kerjasama (di bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris).

Mengulas lanjut, Kementerian Luar berkata, Anwar juga dijadualkan menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Republik Korea
dan mengadakan pertemuan dengan kapten industri dari syarikat-syarikat terkemuka Republik Korea.

“Perdana Menteri juga dijadualkan untuk menyampaikan ucapan khas bertajuk Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia di Seoul National University,” katanya.

Untuk rekod, dari Januari hingga September 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Republik Korea mencatat sebanyak RM81.61 bilion (USD17.63 bilion).

Manakala, dari 1980 hingga Jun 2024, sebanyak 392 projek sektor pembuatan dengan kepentingan Republik Korea telah dilaksanakan di Malaysia dengan nilai pelaburan mencecah RM43.10 bilion (USD11.50 bilion).

Pada tahun 2023, Republik Korea merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.07 bilion (USD24.35 bilion). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI