RANTAU PANJANG – Larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember ini terpakai untuk semua pihak termasuk penduduk di Rantau Panjang dan pelajar sekolah.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hamzah Ishak berkata, mekanisme mengenai pelaksanaan perkara itu akan dibincang dengan Kementerian Pendidikan (KPM) melibatkan pelajar Malaysia yang tinggal di Thailand dan menggunakan pangkalan haram untuk ke sekolah.
“Undang-undang ini (larangan merentas sempadan melalui pangkalan haram) terpakai kepada semua. Jadi, pelajar perlu menggunakan tiga pintu masuk yang sah (Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan) sah. Perkara (peraturan) itu kita perlu laksanakan secara berhemah.
“Sekiranya ibu bapa memberikan sokongan, kita tidak mempunyai masalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE