CANBERRA – Seorang pelancong mengalami detik hitam apabila kakinya terpaksa dipotong selepas tersangkut di celah batu semasa berkayak bersama rakannya di sebatang sungai di Australia, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Kejadian berlaku di Sungai Franklin, barat daya Tasmania pada petang Jumaat lalu.
Pakar perubatan berkata, keputusan ‘hidup atau mati’ itu terpaksa dilakukan semasa operasi mencari dan menyelamat mangsa yang berlangsung selama kira-kira 20 jam.
“Sebahagian badan mangsa berusia 60-an itu ditenggelami air sepanjang pengalaman mengerikan tersebut.
“Sekiranya mangsa kekal di lokasi di mana dia berada dan terperangkap di celah batu, dia tidak akan selamat,” kata pakar.
Pemangku Penolong Pesuruhjaya Polis Tasmania, Doug Oosterloo berkata, beberapa percubaan untuk memindahkan mangsa gagal dilakukan dan keadaannya semakin merosot.
“Oleh itu, kami nekad memotong kakinya agar dia boleh diselamatkan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” tambah Oosterloo.
Mangsa kini berada dalam keadaan kritikal di hospital, manakala 10 pengembara lain dibawa keluar dari kawasan itu. – AGENSI