MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui meletakkan sepenuh kepercayaan kepada para pemain, namun percaya mereka perlu terus bekerja keras untuk memastikan kelab itu kembali memenangi gelaran.
Amorim memulakan tugas di Old Trafford ketika United berada di kedudukan ke-13 musim ini sekali gus menjadi prestasi terburuk kelab itu pada awal musim dalam sejarah saingan Liga Perdana Inggeris.
“Saya percaya sepenuhnya kepada pemain, walaupun saya tahu anda tidak begitu. Kami masih ada ruang untuk penambahbaikan. Saya ada impian dan percayakan diri sendiri, begitu juga dengan kelab ini, jadi kami memiliki mentaliti yang sama. Itu akan membantu kami.
“Saya mahu mencuba sesuatu yang baru, anda semua fikir ia mustahil, tetapi tidak untuk saya, Kita akan lihat nanti bagaimana ia berakhir.Biarpun mengakui United memiliki kekuatan, Amorim sedar bahawa pasukannya itu perlu meningkatkan tahap permainan khususnya di beberapa bahagian untuk memastikan kestabilan pasukan sepanjang perlawanan.
“Kami terlalu kerap hilang bola, itu tidak lagi boleh berlaku. Kami juga perlu lebih baik ketika bertahan dengan mengambil kira semua perkara kecil dan semua pemain mula memahami keperluan tersebut.
“Saya fikir saya mampu membantu situasi yang dihadapi pemain, saya tidak berada di sini hanya untuk memperbaiki satu dua perkara, tetapi saya mahu bersama membangunkan pasukan ini.
“Keutamaan adalah memahami setiap perlawanan yang kami lalu. Saya tahu bahawa kami akan bermain dengan cara yang berbeza dan ia berlaku selepas musim sudah bermula. Kami perlu meningkatkan aspek fizikal pasukan.
“Saya tidak pasti berapa lama masa yang akan diambil, tetapi saya tidak akan memberitahu anda bahawa saya memerlukan masa. Apa yang saya sedar kami adalah Manchester United dan kami perlu memenangi setiap perlawanan,” jelasnya. – AGENSI