LUMUT – Eksesais Malapura 32/24 yang berlangsung dari 13 November hingga hari ini mencatatkan sejarah penting apabila ia meraikan ulang tahun ke-40 penglibatan bilateral Malaysia-Singapura antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Republik Singapura (TLRS).
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut berkata, sejak penganjuran sulungnya pada 1984, eksesais itu menjadi platform utama bagi meningkatkan keupayaan bersama dalam keselamatan maritim serantau bagi kedua-dua negara.
“Pada siri ini, aset yang terlibat adalah KD Lekiu, KD Lekir, KD Gempita dan sebuah helikopter Fennec dari TLDM, manakala TLRS telah menugaskan RSS Supreme, RSS Vigilance, RSS Valiant serta sebuah helikopter Seahawks.
“Aset tambahan termasuk dua Fast Combat Boat TLDM dan dua pesawat SU30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut memperkukuh pelaksanaan eksesais ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, menurutnya, eksesais yang mempunyai tiga fasa itu dimulakan dengan Fasa Pelabuhan di Changi Naval Base, Singapura, merangkumi Majlis Pembukaan yang disempurnakan oleh Panglima Armada TLRS dan disaksikan oleh Panglima Tentera Laut dari kedua-dua negara.
Ujarnya, aktiviti lain termasuk interaksi sukan (MALAPURA Cup), Majlis Resepsi TLDM di KD Lekiu, perbincangan pegawai operasi dan interaksi sosial.
“Fasa Pelabuhan merupakan asas penting dalam eksesais ini, di mana ia bukan sahaja mengukuhkan aspek teknikal dan operasi tetapi juga mengeratkan hubungan persahabatan dan memupuk persefahaman antara kedua-dua angkatan laut.
“Fasa Laut, yang berlangsung di Perairan Selat Melaka, melibatkan siri latihan Field Training Exercise (FTX). Fokus utama adalah meningkatkan keupayaan interoperabiliti melalui latihan peperangan anti-udara, paras permukaan, navigasi, komunikasi dan ilmu kelautan,” katanya.
Mengulas lanjut, ujarnya, latihan-latihan itu bukan sahaja menguji aspek teknikal aset dan anggota tetapi juga memperkasakan kemahiran taktikal dan mewujudkan kesefahaman kedua-dua angkatan dalam operasi bersama.
“Setiap aset menunjukkan kewibawaan dalam melaksanakan siri latihan yang dirancang, mempamerkan profesionalisme kedua-dua angkatan laut.
“Kejayaan Fasa Laut ini mencerminkan interoperabiliti yang mantap antara TLDM dan TLRS, membuktikan bahawa hubungan erat selama 40 tahun telah diterjemahkan kepada keupayaan operasi bersama,” katanya.
Tambahnya, Fasa Penutup pula telah berlangsung di Markas Wilayah Laut 3, Langkawi, menampilkan pelbagai aktiviti termasuk Brisk Walk Malapura dan program komuniti di Pulau Tuba, Majlis Resepsi TLRS di RSS Supreme, interaksi sosial serta Majlis Penutup. – KOSMO! ONLINE