fbpx

‘Dulu bantu orang, sekarang saya terima bantuan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyanyi senior, Sheqal diuji dengan masalah kesihatan angin ahmar sejak lima tahun lalu.

KUALA LUMPUR – “Dulu saya bantu orang lain, sekarang saya yang terima bantuan. Saya rasa amat sedih.”

Demikian kata penyanyi senior, Sheqal yang tidak dapat menahan air mata apabila mengenangkan dirinya kini adalah seorang penerima bantuan.

Sheqal atau Shahrin Salehuddin, 58, hanya mampu meluahkan rasa syukur atas setiap sumbangan yang diterimanya apabila tidak mampu bekerja sejak diserang angin ahmar lima tahun lalu.

“Sebelum ini memiliki perniagaan sendiri iaitu kopi tetapi sejak sakit semua itu sudah tiada. Saya bersyukur sumbangan ini dapat mengurangkan sedikit beban,” ujarnya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Nusantara itu memberitahu, dia diserang angin ahmar sebanyak empat kali dan kali terakhir adalah pada tahun lalu.

Menurut Sheqal, dia hanya mampu terbaring selama empat tahun namun selepas menjalani rawatan, kesihatannya semakin pulih walaupun masih lemah.

“Dulu saya hanya boleh baring dan tidak boleh bercakap. Sejak buat rawatan di Johor saya sudah boleh berdiri sedikit dan sudah boleh bercakap tidak sampai setahun,” katanya.

Meskipun tidak boleh menyanyi seperti dahulu, cintanya dalam bidang seni tidak pernah pudar dan kini aktif menulis buku keagamaan.

“Menulis adalah cara saya teruskan bidang seni. Saya tulis syair tentang agama dan dibukukan.

“Biasanya saya menulis selepas solat tahajud dan sunat dhuha. Ini juga cara saya melupakan seketika tentang sakit,” luahnya yang pada Majlis Sumbangsih Prihatin anjuran Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), semalam.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Yayasan Pekema iaitu Datuk Mohamed Nazari Noordin dan Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI