PETALING JAYA – Sebanyak tujuh kenderaan ditunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Operasi Bersepadu Halang siri 5 (Ops Halang) yang dilaksanakan di sekitar ibu negara, semalam.
DBKL dalam kenyataan berkata, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan.
“Hasil daripada operasi yang dijalankan, sebanyak 161 Notis Tawaran Kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang telah dikesan semasa operasi tersebut.
“Sebanyak tujuh kenderaan telah ditunda dan empat penjaja tanpa kebenaran telah disita serta-merta,” katanya hari ini.
Tambahnya, DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
“Orang awam boleh menyalurkan aduan dengan berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE