PETALING JAYA – “Ala, tak ada rezeki.”
Masyarakat umum tidak digalakkan meluahkan kata-kata berkenan jika masih belum memperoleh apa yang dihajati dalam kehidupan.
Pakar motivasi terkemuka, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, berkata, setiap kata-kata perlu diucapkan sebaiknya kerana apa yang diluahkan adalah sebuah doa.
“Jangan biasakan sebut begitu jika masih belum dapat apa-apa dalam hidup. Sebaiknya, biasakan menyebut, ‘insya-Allah, pasti ada rezeki ni nanti’.
“Kata-kata kita adalah sebuah doa,” katanya menerusi media sosial.
Tambah beliau, rezeki itu ada di mana-mana, hanya kita yang perlu berusaha meneroka dan terus mencari.
“Daripada doa itulah terbitnya usaha dan pengharapan bahawa segala yang baik itu datang daripada Yang Maha Memberi Rezeki. Setiap kali memulakan hari, kita kena ingat bahawa rezeki Allah itu Maha Luas.
“Jadi, mana mungkin ‘tiada rezeki’. Pasti ada harapan pada yang berusaha dan ada kejayaan telah tersusun buat kita. Rezeki Allah Maha Luas, yakini itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE