fbpx

6 GRO ditahan, tawar khidmat ranjang serendah RM60

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara GRO yang ditahan dalam serbuan Op Noda semalam. FOTO ihsan PDRM

KUALA LUMPUR – Enam gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Indonesia antara lapan yang ditahan polis menerusi serbuan Op Noda #KLStrikeForce sekitar Jalan Yew, Pudu, di sini, semalam.

Dua lelaki warga tempatan yang berperanan sebagai pengurus GRO dan penjaga premis turut ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 2.13 pagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

“Seramai lapan individu yang ditahan berusia 20 hingga 63 tahun terdiri daripada enam wanita warga Indonesia dipercayai pelacur manakala dua lelaki tempatan masing-masing bertindak sebagai pengurus pelacur dan penjaga premis.

“Kita juga merampas sebanyak 20 keping kondom, peket tisu basah, minyak serta tiub pelincir, tuala dan buku catatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan seks GRO berkenaan perlu membayar serendah RM60.

“Pelanggan terdiri daripada warga tempatan serta asing dan siasatan mendapati purata pelanggan yang melanggani seorang pelacur adalah antara lima hingga 10 orang.

“Selain itu, risikan sebelum ini mendapati kegiatan pelacuran ini beroperasi seawal pukul 6 petang hingga 4 pagi setiap hari,” ujarnya.

Jelasnya, kesemua individu ditahan di Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 372B/373 Kanun Keseksaan, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 55B dan Seksyen 15 Akta Imigresen 1959/63,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI