MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi amaran keras kepada persatuan sukan supaya mematuhi undang-undang dan tidak membuat keputusan membelakangi pihak kerajaan ketika membida hak untuk menganjurkan sebarang acara sukan antarabangsa di Malaysia.
Baru-baru ini, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menyatakan hasrat bahawa pihaknya tidak akan melepaskan peluang untuk membida menjadi tuan rumah bagi Kelayakan Piala Dunia Bola Sepak Cerebral Palsy (IFCPF) – Asia Ocenia 2025 di Kuala Lumpur.
Hannah berkata, persatuan sukan perlu mendapatkan kelulusan bertulis menteri terlebih dahulu sebelum mereka boleh membawa usul untuk membida hak untuk menjadi tuan rumah penganjuran temasya sukan antarabangsa.
“Saya tidak tahu mengenai perkara ini. Jemaah Menteri telah menulis surat kepada semua persatuan sukan dan telah mengingatkan mereka agar mendapatkan kelulusan daripada menteri terlebih dahulu sebelum mengemukakan bidaan untuk penganjuran pertandingan antarabangsa
“Kita tak mahu jadi seperti sebelum ini, ada yang pergi membuat bidaan untuk dapatkan dulu hak penganjuran kemudian datang minta duit. Kerajaan sedang bahaskan bajet 2025 dan dalam bajet tersebut adalah untuk perancangan KBS sahaja.
“Ini tidak termasuk semua acara-acara yang mereka ingin buat bidaan tanpa pengetahuan kita. Jadi, saya minta semua kena bagi kerjasama. Ikut undang-undang,” katanya.
Merujuk kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576), Seksyen 33 (1) memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh membuat tawaran atau menawarkan diri menjadi tuan rumah bagi apa-apa pertandingan atau acara sukan antarabangsa di Malaysia tanpa kelulusan bertulis Menteri terlebih dahulu dan keputusan Menteri adalah muktamad.
Seksyen 33 (2) juga memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada lima puluh ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.