fbpx

Tiada jodoh, tetap bercerai walau berbaik semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RUJUK selepas bercerai dan kemudian berpisah semula seperti senario yang kini dilalui pasangan sensasi, Diana Danielle dengan Farid Kamil memang jarang berlaku.

Situasi sama pernah dihadapi beberapa pasangan yang memilih jalan berbeza selepas rujuk dan kemudian  mengakhiri ikatan dengan perceraian buat kali kedua.

Cahaya yang menyinari semula rumah tangga selepas ikatan bertaut kembali nampaknya tidak berpanjangan apabila perkahwinan dilanda badai.

Gala minggu ini merangkumkan kisah pelakon popular yang bernikah semula dengan pasangan masing-masing, namun ditakdirkan bercerai lagi.

Begitupun, terdapat pasangan senior yang nyaris berpisah sehingga memfailkan perceraian, namun menarik balik permohonan itu, tetapi jodoh mereka tidak panjang apabila tetap bercerai.

Zarina Anjolie – Eilyas Azhar

PERNIKAHAN pelakon Zarina Anjoulie atau mesra disapa Anju dengan Eilyas Azhar pada 17 Julai 2020 merupakan kejutan kepada peminat.

Pasangan tersebut bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah Seremban, Negeri Sembilan secara sederhana berikutan negara masih berada dalam fasa serangan Covid-19.

Namun, dua bulan selepas bercerai secara mengejut iaitu pada Februari 2021, ibu kepada seorang anak itu sekali lagi membuat kejutan apabila mendedahkan dirinya sudah kembali bergelar isteri kepada Eilyas.

Namun, hubungan mereka tidak mampu diselamatkan apabila ikatan yang dipertahankan kembali terlerai selepas dua bulan rujuk semula.

Sehingga kini Anju yang aktif mempromosikan produk jualannya dalam media sosial masih sendirian ditemani anak tunggalnya.

Biarpun pernah menjalin hubungan serius dengan seorang ahli perniagaan,  dia nampaknya selesa menjalani kehidupan sekarang secara solo. 

Bella Astillah – Aliff Aziz

KEMELUT rumah tangga selebriti sensasi Aliff Aziz dan Bella Astillah paling panas tahun ini apabila membabitkan isu kecurangan serta kes khalwat.

Selebriti asal Singapura itu bergelar suami kepada Bella pada 9 September 2016, namun mereka membuat keputusan untuk bercerai pada 16 Mei 2019.

Penceraian itu didakwa berlaku ekoran beberapa siri kecurangan yang dilakukan Aliff sepanjang perkahwinan mereka.

Pada April 2020, ibu kepada dua cahaya mata itu mendedahkan bahawa dia dan Aliff sudah kembali rujuk.

Begitupun, ikatan dibina kembali retak selepas Aliff didakwa masih ligat bermain cinta dengan wanita lain sekali gus membawa Bella memfailkan cerai ekspres atas alasan tiada persefahaman dan ‘mawaddah’ (cinta dan kasih sayang).

Erma Fatima – Bade

LAIN pula kisah pelakon dan penerbit,  Erma Fatima dan Badaruddin Azmi atau Bade yang bercerai pada Ogos 2017 selepas 26 tahun melayari bahtera rumah tangga. 

Bade, 53, memfailkan perceraian mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor selepas dikatakan berlaku ketidaksefahaman.

Erma sebelum itu pernah memfailkan perceraian pada Mei 2015 di mahkamah yang sama, namun menarik balik permohonan itu kerana tiada kesungguhan di pihak Bade untuk bercerai.

Biarpun hubungan mereka tampak semakin pulih, perkara itu tidak bertahan lama tetapi mereka masih baik demi anak-anak.

Pasangan yang bernikah pada 30 November 1991, itu mempunyai lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, Ahmad Arir, Ahmad Aifin, Citra, dan Nurain.

Akhirnya perkahwinan mereka berakhir apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 17 Ogos 2017.

Farid Kamil – Diana Danielle

KETIKA ini, pelakon Diana Danielle masih sah sebagai isteri kepada aktor Farid Kamil selepas kembali rujuk pada 31 Ogos tahun lalu.

Sebelum ini, pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, 34, mengejutkan ramai apabila mengumumkan nekad untuk berpisah dan bakal memfailkan perceraian terhadap Farid buat kali kedua.

Pelakon filem Imaginur itu juga enggan lagi dipujuk malah mendakwa segala janji yang ditabur suaminya sebelum ini tidak pernah tertunai.

Pada 4 November lalu, Diana hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan bersama peguam untuk memfailkan perceraian terhadap Farid. 

Mahkamah menetapkan tarikh 2 Disember depan untuk pihak plantif menyediakan dokumen berkaitan rujuk bagi meneruskan prosiding perceraian yang difailkan terhadap Farid.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI