SHAH ALAM – Pemain Thailand Tanapat Pichaikool meraikan hari lahirnya yang ke-25 dengan penuh bergaya apabila mengungguli Kejohanan Jelajah Toyota, yang merupakan aksi penutup tirai untuk sirkit golf kebangsaan ini, di Kota Permai Golf & Country Club, di sini pada Sabtu.
Tanapat bangkit daripada ketinggalan tiga pukulan di belakang rakan senegara Sarut Vongchaisit pada satu ketika dengan mencatatkan dua bawah par 70 untuk skor terkumpul 17 bawah par 271.
Ia memadai untuk Tanapat menang tipis satu pukulan mengatasi Sarut, yang merekodkan 71. Tanapat dan Sarut terdahulu memulakan pusingan terakhir sebagai pendahulu bersama, berbekalkan jurang selesa empat pukulan meninggalkan lain-lain pencabar.
Saingan dua penjuru itu pada awalnya memihak Sarut, menyaksikan dia mengorak langkah meninggalkan Tanapat dengan tiga pukulan dengan melakukan birdie berturut-turut pada dua lubang pertama. Ia dibantu dengan Tanapat tercicir bogey seawal lubang pertama.
Namun, Tanapat sama sekali tidak berputus asa. Kesabarannya akhir membawa hasil apabila dia membidik tiga birdie pada lubang kelapan, kesembilan dan ke-12 untuk memintas Sarut di kedudukan pendahulu. Kedudukan itu berjaya dipertahankan Tanapat sehingga akhir saingan.
Sarut pula gagal meneruskan momentumnya dan tercicir bogey di tiga lubang iaitu enam, 11 dan 13. Meskipun berhasil memperolehi birdie pada lubang ketujuh dan ke-17, dia akhirnya tewas dengan jurang satu pukulan.
“Kemenangan ini merupakan hadiah hari jadi saya. Untuk bergelar juara pada hari lahir saya…perasaannya begitu menakjubkan,” kata Tanapat, yang meraih ganjaran juara RM70,000.
“Ia satu hari yang cukup mencabar. Saya harus bermain dengan penuh kesabaran, lebih-lebih lagi selepas ditinggalkan Sarut dengan tiga pukulan selepas baru memasuki dua lubang pertama.
“Saya cuba mengelak daripada melakukan lagi kesilapan, dan sabar menunggu detik untuk saya mulakan kebangkitan. Akhirnya saat itu tiba pada lubang kelapan dan kesembilan dengan dua birdie berturut-turut berjaya diperolehi, dan situasi terus kembali berpihak kepada saya.”
Ben Jones dari England merampas kedudukan ketiga selepas mencatat 68 untuk skor keseluruhan 274.
Edven Ying muncul pemain terbaik tempatan selepas berkongsi tangga kelapan bersama tiga pemain lain. Dia merekodkan 68 untuk 277.
“Saya dapat bermain sebagaimana yang saya mahukan, selain beraksi dengan penuh keyakinan minggu nini,” kata Edven.
“Saya berasa puas hati dengan prestasi keseluruhan musim ni. Mudah-mudahan tahun depan akan lebih bagus lagi, saya akan terus berlatih dengan gigih dan cuba meraih kejuaraan,” katanya.
Pemain nombor satu negara Gavin Green cemerlang dengan skor 66 unuk menamatkan saingan berkongsi tempat ke-13 dengan catatan keseluruhan 279.
Kejohanan Jelajah Toyota merupakan pertandingan ke-10 dan yang terakhir untuk musim 2024.
Pertandingan yang menawarkan hadiah tunai RM400,000 itu turut menampilkan aksi pemain-pemain antarabangsa kali ini kerana ia disanksi bersama Jelajah Pembangunan Asia. – KOSMO! ONLINE