fbpx

Sony Norde ‘tak boleh tahan’, mahu ke Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sony Norde mengakui terpaksa berhijrah selepas hampir setahun mewakili skuad Hijau Kuning. - Foto ihsan KDA FC

ALOR SETAR – Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sony Norde akhirnya menjawab segala persoalan yang bermain di minda penyokong Sang Kenari apabila mengesahkan penghijrahannya ke sebuah kelab di Indonesia bermula Disember depan.

Menurut pemain berasal dari Haiti itu, dia akan terbang ke negara jiran tersebut pada 5 Disember depan.

Katanya, kemenangan 3-2 dicatatkan dalam aksi sulung Piala Malaysia musim ini menentang Kuala Lumpur City (KL City) semalam merupakan aksi terakhir beliau di depan penyokong sendiri, di Stadium Darul Aman.

“Saya dan KDA FC ada persetujuan bersama. Setelah sekian lama kelab ini berdepan masalah kewangan yang teruk, saya terpaksa ambil keputusan ini demi keluarga.

“Saya tiada pilihan dan terpaksa bergerak demi keluarga. Selepas ini, saya akan bermain perlawanan terakhir untuk KDA FC dalam perlawanan timbal balik pusingan 16 Piala Malaysia menentang KL City di tempat lawan 1 Disember nanti.

“Itu pun kalau para pemain KDA FC lain mahu terbang ke Kuala Lumpur untuk bermain. Jika masalah dalam pasukan ini gagal diselesaikan, saya tak fikir kita ada cukup pemain untuk bermain di sana nanti dan jika itu berlaku, ini mungkin menjadi perlawanan terakhir saya bersama Sang Kenari,” katanya.

Beliau ditemui selepas menjaringkan dua gol untuk membantu KDA FC menewaskan KL City 3-2 di Stadium Darul Aman semalam yang menyaksikan beberapa pemain pasukan itu ‘hilang’, menyebabkan hanya ada seorang saja pemain di bangku simpanan.

Mengulas lanjut Sony berkata, keputusan itu sangat sukar untuk diambil terutamanya apabila mengenangkan rakan-rakan sepasukan yang masih terus bersama KDA FC selepas ini.

“Saya akan pergi manakala rakan-rakan lain akan kekal dalam situasi ini. Saya rasa teruk buat mereka tetapi ini situasi peribadi dan bukan mudah untuk saya mengambil keputusan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN