fbpx

‘Kes simbah asid Faisal Halim, tiada maklumat benar-benar membantu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faisal Halim.

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan pihaknya masih menjalankan siasatan kes membabitkan pemain Selangor FC, Faisal Halim, yang parah disimbah asid, 5 Mei lalu.

Kata beliau, kes tersebut tidak ditutup malah masih menunggu perkembangan siasatan.

Menurut Razarudin, pihaknya telah mengambil keterangan seramai 23 individu dan menahan tiga suspek bagi membantu siasatan.

“Hasil analisis forensik terhadap telefon ketiga-tiga suspek mendapati tiada bukti atau perbualan yang mereka terlibat dalam kes itu.

“Malah, pihak JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) juga melakukan pemeriksaan terhadap akaun-akaun bank mereka (suspek), namun tiada sebarang transaksi wang meragukan atau upah bayaran ditemukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini

Jelasnya, polis turut meminta bantuan orang ramai dengan mengeluarkan fotofit suspek, bagaimanapun setakat ini tiada maklumat yang benar-benar dapat membantu siasatan.

“Walaupun pelbagai usaha dibuat pihak polis, kita tidak pernah menghentikan siasatan dan menunggu sekiranya terdapat maklumat baharu bagi kes ini.

“Justeru, kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil dan menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Selangor, Najwan Halimi memaklumkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa, kerajaan negeri masih menunggu laporan siasatan kes tersebut.

Najwan memaklumkan Speaker DUN Selangor sudah menulis surat kepada pihak polis berhubung usul yang dipersetujui secara konsesus dalam sidang DUN pada Julai lalu, yang mahukan laporan siasatan didedahkan kepada umum.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI