KUALA LUMPUR- Satu kajian dilakukan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuktikan Sabah dan Sarawak merupakan dua model negeri contoh tentang perpaduan masyarakat di Malaysia.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menjelaskan, kajian tersebut juga membuktikan bahawa persepsi buruk terhadap perpaduan di dua negeri itu adalah tidak benar.
“Seperti yang kita tahu, di Sabah dan Sarawak banyak etnik serta suku hidup aman di sana. Walaupun hidup bermasyarakat, tapi saya tidak suka persepsi yang timbul sebelum ini kononnya di Sabah dan Sarawak tiada perpaduan.
“Kajian telah membuktikan perpaduan di sana sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Festival Anak Sarawak dan Temasya Kueh Malaysia di Muzium Negara hari ini.
Aaron berkata, kajian tersebut juga membuktikan mengenai jarak sosial atau keakraban masyarakat di dua negeri itu cukup rapat dan saling bekerjasama antara mereka.
“Keakraban, kerjasama dan kebahagian antara mereka sudah terbukti dalam apa jua aktiviti yang dianjurkan tetap bersama. Kajian itu juga membuktikan isu bahasa, agama serta kaum tidak menjadi masalah dan penghalang kepada perpaduan di sana,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE