SHAH ALAM – Masalah 500 pembeli Rumah Selangorku Sentoria Morib di sini yang tidak siap sejak empat tahun lalu terus mendapat perhatian apabila pertemuan bersama pemegang taruh akan dibuat dalam masa terdekat.
Ini melibatkan pemilik tanah, syarikat pemaju selain wakil pembeli, Pejabat Tanah dan Galian, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.
Exco Perumahan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, beliau difahamkan bahawa syarikat Seriemas Development Sdn. Bhd.,
yang mengendalikan projek tersebut tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk menyiapkan projek berkenaan.
Namun, kata beliau, projek ini boleh diteruskan dan ada syarikat yang sanggup membantu namun proses sebarang syarikat pemaju baharu perlu melalui prosedur telah ditetapkan.
“Akhirnya, kita mengetahui siapa pemilik tanah (kawasan Sentoria Morib) adalah Pemodalan Nasional Berhad (PNB) dengan Seriemas
adalah anak syarikat PNB.
“Setakat ini, pihak PNB sudah datang berjumpa kita untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian projek ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan kira-kira 500 pembeli projek perumahan di Morib di sini yang kebanyakan golongan B40 terus ‘kempunan’ memiliki rumah sendiri apabila projek itu gagal disiapkan sehingga kini.
Borhan menyatakan pihak tidak boleh menjadikan projek itu sebagai projek terbengkalai melainkan mendapatkan laporan daripada KPKT.
Tegasnya, kerajaan negeri tidak akan lepas berhubung projek ini dan beliau telah minta PNB untuk berjumpa dengan syarikat pemaju bagi menyelesaikan masalah ini.
“Rumah landed (teres) hanya tingga beberapa peratus sahaja yang tidak siap lagi. Cuma yang agak tergendala sedikit adalah apartment Projek Rumah Selangorku Sentoria Morib.
“Sekiranya tidak ada jalan penyelesaian, maka kerajaan Selangor dan KPKT akan masuk campur untuk selesaikan projek ini.
“Kalau syarikat pemaju masih gagal meneruskan projek ini, kita beranggapan kita akan adanya keputusan mahkamah berhubungnya sama ada melantik regulator baru dan teruskan kesinambungannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Borhan menjelaskan hanya dua daripada 270 projek Rumah Selangorku yang mempunyai masalah dari segi pembangunan.
“Saya mahu maklum di sini, orang ramai menganggap beli Rumah Selangorku adalah rumah dibina kerajaan negeri.
“Sebenarnya tidak, ini adalah ‘branding’ yang disebut Rumah Selangorku. Namun bila sebut Selangorku, kerajaan telah gagal membina rumah sedangkan ini adalah kegagalan pemaju,” katanya. – KOSMO! ONLINE