KUANTAN – Sri Pahang gagal membawa bekalan selesa untuk perlawanan timbal balik selepas sekadar seri 1-1 dengan Selangor FC pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk mendahului lawan walaupun Selangor dilihat lebih agresif.
Peluang terbaik pelawat untuk mendahului Sri Pahang hadir seawal minit ke lima melalui Drozcon tetapi jaringan itu tidak dikira kerana offiside.
Kesilapan Sergio Aguero menghantar bola ke belakang juga nyaris menghasilkan gol selepas bola tersekat kerana padang ditakungi air disambar Ronnie Faernandez tetapi tiang gol menjadi penyelamat tuan rumah.
Pada minit ke-28, tandukan Sean Selvaraj ke kiri gawang gol akhirnya berjaya menewaskan Azim untuk Sri Pahang berjaya mendahului Selangor 1-0.
Sri Pahang berpeluang menambah jaringan pada minit minit akhir babak pertama melalui Mykola Ahapov selepas menerima hantaran Hidalgo selepas sepakan penyerang itu hanya melewati palang gol lawan.
Selangor turut mempunyai peluang terbaik menyamakan kedudukan tetapi percubaan Faisal Halim dinafikan penjaga gol Sri Pahang sebelum tamat separuh masa pertama.
Kemasukan Fortes yang mengantikan Faisal Halim di babak kedua tidak banyak mengubah rentak Selangor melakukan serangan ke arah kawasan Sri Pahang.
Sebaliknya Sri Pahang lebih banyak menguasai padang dengan beberapa percubaan bahaya ke arah pintu gol pelawat melalui Kpah Sherman, Aguero dan Ahapov serta Sazwan Andik.
Bagaimanapun jaringan penyamaan untuk Selangor hadir pada minit ke-82 apabila tandukan Nikola Jambor gagal di tangkap kemas penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan.
Perlawanan kedua bakal berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya pada 1 Disember depan. – KOSMO! ONLINE